Bersempena dan pada memperingati hari yang bersejarah Pemasyhuran Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah menjadi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota pada 17 Rabiulakhir 1419H bersamaan 10 Ogos 1998M, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan sembah cadangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) bagi satu pesembah yang berkenalan dalam bentuk Yayasan Amal yang digelar "DANA PENGIRAN MUDA MAHKOTA AL-MUHTADEE BILLAH UNTUK ANAK-ANAK YATIM" (DANA).
Dengan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, DANA telah ditubuhkan di bawah satu Akta yang digelar Akta Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (Penggal 185).
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah telah berkenan melancarkan DANA pada 4 Jamadiawal 1419H bersamaan 25 Ogos 1998M bertempat di Kelab Polo Jerudong.
Sempena majlis pelancaran DANA tersebut beberapa agensi kerajaan dan swasta, institusi kewangan, badan perniagaan dan perusahaan, persatuan dan orang perseorangan telah menyembah sumbangan mereka kepada DANA di Hadapan Majlis Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.